KUALA LUMPUR, 12 Feb: Produk keluaran usahawan Sabah dan Sarawak yang dibimbing oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerima sambutan menggalakkan apabila dipasarkan di Semenanjung Malaysia.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, ini terbukti apabila produk seperti makanan dan kraf tangan yang dijual di sekitar di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) yang merupakan lokasi strategik orang ramai membuat persiapan perayaan laris.
Sehubungan itu kata beliau, Showcase MARA 2025 yang bertemakan produk setiap negeri untuk Borneo pada tahun ini, sekali lagi akan dilangsungkan di ibu negara.
“Berdasarkan perlaksanaan tahun lepas, maklum balas yang diterima ialah usahawan dari Borneo lebih suka buat di sini sebab pasarannya lebih luas.
‘Kita merasakan tujuan utama MARA mengadakan program ini bertepatan kerana kita hendak pelbagaikan pasaran usahawan di mana sahaja mereka berada, setiap negeri ada produk tersendiri,” katanya.
Rubiah berkata demikian kepada pemberita selepas hadir program Showcase Batik dan Kraf MARA 2024 di Medan Mara, di ibu negara di sini hari ini.
Program berkenaan merupakan inisiatif MARA menyahut seruan kerajaan membudayakan pemakaian batik di sektor kerajaan selain memajukan industri batik tempatan menerusi usaha mempromosikan kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Sementara itu Rubiah berkata, MARA selaku agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan terus membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka.
Jelas beliau menerusi pelbagai bantuan disalurkan, MARA telah berjaya melahirkan seramai 68,000 usahawan.
“Untuk usahawan, kementerian tidak kategorikan mereka kerana kita bantu sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi usahawan malah bukan sahaja untuk usahawan produk kerana usahawan perkhidmatan juga kita bantu menerusi sistem lengkap yang dibangunkan bermula latihan asas, pembangunan produk, pinjaman modal, pemasaran dan sekarang banyak aspek pendigitalan yang kita bantu,’ katanya.
Sementara itu Pengarah Bahagian Pembangunan Usahwan MARA, Nor Uyon Shoib berkata, pihaknya berharap jualan pempamer yang menyertai program pada tahun ini akan melebihi RM200,000 yang direkodkan pada 2024.
Kata beliau, Program Batik dan Craft ini akan dilaksanakan pada hingga 14 Februari melibatkan 26 booth.
“Pada tahun ini, kita tidaklah meletakkan sasaran spesifik tetapi kita harap sasaran jualan akan mengatasi tahun lepas.
“Pada tahun ini, separuh hari bermula, pengunjung begitu ramai, ini menunjukkan sambutan baik kepada showcase batik dan kraft yang kita laksanakan,”katanya. -TVS.