KUCHING, 12 Feb: Proses penjenamaan semula AirBorneo bakal dilaksanakan termasuk mereka cipta identiti syarikat penerbangan Sarawak itu dengan mencerminkan budaya Sarawak dan Borneo.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata, peralihan tersebut akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh 18 bulan, bagi memastikan tiada gangguan terhadap operasi penerbangan sedia ada.
Sepanjang tempoh berkenaan, beliau berkata Sarawak juga akan meneroka peluang untuk menambah aset dan memperkukuhkan operasi syarikat.
“Kita tidak mahu tergesa-gesa. Kita mahu memastikan peralihan ini berlaku secara sistematik supaya AirBorneo dapat berkembang dengan baik.
“Selain mengekalkan operasi sedia ada, AirBorneo juga merancang untuk memperluaskan laluan ke destinasi utama seperti Kuala Lumpur, Singapura dan Jakarta…dengan Jakarta yang dijangka memberi impak besar kepada pelancongan perubatan.
“Ini kerana ramai warga Indonesia memilih untuk pergi ke Sarawak untuk mendapatkan rawatan,” katanya selepas menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) antara Kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG), hari ini.
Meskipun butiran kos pengambilalihan tidak didedahkan atas faktor komersial, Abang Johari memberi jaminan bahawa keputusan sedemikian merupakan satu keputusan yang menguntungkan.
Abang Johari memberitahu, AirBorneo akan mengambil alih semua kakitangan MASwings sedia ada, termasuk yang bertugas di Sabah, serta menerima pesawat baharu ATR dengan konfigurasi kabin moden.
“Kita tidak mewarisi apa-apa jenis liabiliti, Sarawak mengambil alih dengan permulaan baharu. Ini satu tawaran yang bagus,” tambah beliau.
Mengulas berhubung nama syarikat penerbangan tersebut, beliau mendedahkan ia turut mengambil kira kepentingan Sabah berikutan MASwings turut beroperasi dan menyediakan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di negeri itu.
Sebagai syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak, AirBorneo dijangka menjadi pemain utama dalam industri penerbangan Borneo, serta memastikan perkhidmatannya terus relevan dan memenuhi keperluan rakyat. – TVS