SIBU, 12 Feb: Jawatan Naib Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merupakan satu tanggungjawab besar dan tinggi, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee.
“Saya percaya apabila mempunyai jawatan dalam parti, saya mempunyai ruang untuk menyumbang kepada pembentukan dasar besar yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.
“Matlamat untuk bertanding mempertahankan jawatan ini adalah disebabkan saya telah diamanahkan untuk menjadi Timbalan Menteri dalam bidang pendidikan bagi Sarawak,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, banyak perkara yang telah dilakukan dalam merangka dasar bidang pendidikan di Sarawak.
“Misalnya, kita adalah Kerajaan Negeri pertama yang membantu membayar sebahagian hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) anak negerinya,” kata Dr. Annuar.
Selain itu, pelbagai dasar lain turut dilaksanakan seperti pemberian komputer riba percuma, baucar buku, Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (iGPS), Sarawak Education Enhancement Programmes (SEEP) serta pelbagai Program Pembangunan Bakat dan Kemahiran.
Dr. Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, memberitahu, Sarawak juga bakal melaksanakan langkah besar pemberian pendidikan percuma untuk pelajar yang menuntut di universiti milik Kerajaan Sarawak pada tahun hadapan.
“Saya mengganggap dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak sebagai dasar berpandangan jauh yang mampu mengubah nasib anak-anak Sarawak, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan tinggal di kawasan luar bandar.
“Kami melihat dengan pelaksanaan dasar-dasar ini, faktor tidak mampu dari segi kewangan untuk melanjutkan pelajaran sudah tidak lagi wujud untuk anak Sarawak,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau yang juga calon nombor empat (4) bagi jawatan Naib Yang Dipertua PBB di Perhimpunan Agung PBB ke-16 kali ini memberitahu, sekiranya terus diberikan mandat memegang jawatan tersebut, beliau akan berusaha menyumbang idea dan pandangan bagi memaju dan mengemaskini dasar-dasar yang ada untuk menjadikan impian Sarawak Wilayah Maju Berpendapatan Tinggi 2030 menjadi satu realiti.
Beliau turut menyambut baik kenyataan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memberitahu PBB kini memasuki fasa peralihan kepimpinan, dengan konvensyen ke-16 parti itu dijadikan platform penting untuk mencorakkan masa hadapan dan membuka ruang kepada pemimpin pelapis meneruskan perjuangan.
Jelasnya, ucapan Premier di keempat-empat zon Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan PBB sebelum ini juga memberikan bayangan yang sama.
“Beliau menekankan bahawa perlunya PBB menyiapkan diri untuk pemimpin-pemimpin baharu mengambil alih kepimpinan parti ini dan mereka (pemimpin) ini perlu dilatih dari sekarang.
“Disebabkan itu, pada konvensyen yang akan kita lalui pada minggu ini merupakan suatu konvensyen bagi memilih pelapis yang akan meneruskan perjuangan parti.
“Ini juga suatu misi penting, dan ahli-ahli PBB harus berfikir secara mendalam semasa menentukan barisan pimpinan pada minggu ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa perkara yang diutarakan oleh Yang Dipertua PBB itu bertujuan untuk memastikan PBB kekal relevan dalam memperjuang nasib Bumiputera di Sarawak.
“Saya berpendapat perkara yang cuba disampaikan oleh Premier itu jelas, bahawa konvensyen kali ini adalah suatu transisi sekali gus ruang untuk memilih pemimpin pelapis yang akan diangkat dan dilatih di peringkat mereka sepatutnya berada,” tambahnya.
Dr. Annuar bertanding untuk kali pertama bagi jawatan Naib Yang Dipertua pada 2018, dan beliau merupakan seorang daripada empat pemimpin yang terpilih ketika itu.
Pada penggal seterusnya, jawatan Naib Yang Dipertua PBB tidak dipertandingkan.
“Ini merupakan penggal ketiga dan dengan pengalaman mencukupi, saya percaya ia membantu untuk terus menyumbang kepada parti dan Sarawak.
“Diharapkan agar para perwakilan dapat melihat hasil-hasil kerja yang telah saya buktikan sebelum ini untuk menilai diri ini, seterusnya memberikan mandat untuk saya terus menyumbang,” tambahnya lagi. -TVS