KUCHING, 12 Feb: Bersempena memperingati hari kelahiran Almarhum Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga hari ini, rakyat diseru agar terus mengukuhkan semangat perpaduan serta memperkasakan integrasi sosial.
Seruan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang itu menggambarkan sumbangan Almarhum Tun Hussein Onn yang amat besar dalam membentuk Malaysia yang lebih bersatu padu, penuh harmoni, dan saling menghormati di kalangan rakyat pelbagai bangsa, agama, dan budaya.
“Hari ini, kita memperingati kelahiran Almarhum Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga dan dikenali sebagai Bapa Perpaduan.
“Beliau telah memberikan sumbangan yang amat besar dalam membentuk Malaysia yang lebih bersatu padu, penuh harmoni, dan saling menghormati di kalangan rakyat pelbagai bangsa, agama, dan budaya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Aaron turut menyifatkan Almarhum Tun Hussein Onn yang dikenali sebagai Bapa Perpaduan berjaya menyatukan rakyat dengan pendekatan yang inklusif, mementingkan dialog antara pelbagai lapisan masyarakat, dan memperkenalkan dasar-dasar yang mengutamakan kepentingan bersama.
Sumbangan Almarhum Tun Hussein Onn tegas Aaron dalam memelihara keharmonian kaum dan memperkasakan integrasi sosial antara rakyat Malaysia adalah contoh teladan yang harus diteruskan
“Pada hari yang penuh bermakna ini, saya mengajak agar kita terus mengukuhkan semangat perpaduan, kerana hanya dengan perpaduanlah kita dapat mengatasi sebarang cabaran dan memajukan negara untuk generasi akan datang.
“Marilah kita mencontohi ketulusan, kesederhanaan, dan semangat kepimpinan Almarhum Tun Hussein Onn dalam usaha kita memperkukuhkan lagi perpaduan negara Malaysia yang tercinta ini,” ujarnya.