KUCHING, 12 Feb: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kini memasuki fasa transisi kepimpinan, dengan konvensyen ke-16 parti itu dijadikan platform penting untuk mencorakkan masa depan dan membuka ruang kepada pemimpin pelapis meneruskan perjuangan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menjelaskan bahawa peralihan kepimpinan adalah satu realiti yang perlu diterima, terutama apabila generasi pemimpin sedia ada semakin menghampiri penghujung tempoh perkhidmatan mereka.
“Konvensyen ini adalah konvensyen transisi. Jika kita lihat daripada kedudukan kami yang memimpin PBB sekarang, majoriti menjangkau usia tujuh puluhan. Dan realitinya, kita tidak dapat berkhidmat lebih jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual khas bersama Sarawak Tribune dan Suara Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada Rabu.
Yang Dipertua Parti PBB itu berkata konvensyen kali ini akan memberi peluang kepada kepimpinan akar umbi untuk mengenal pasti barisan pemimpin baharu yang bakal meneruskan usaha selama 60 tahun PBB membangunkan Sarawak.
Abang Johari turut menyorot perjalanan kepimpinan PBB sejak era Tun Jugah Barieng, Tun Abdul Rahman Yaakub dan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang masing-masing membawa pendekatan berbeza mengikut keperluan zaman.
“Di bawah Tun Jugah dan Tun Rahman, fokus utama adalah membangunkan Sarawak dalam rangka Malaysia yang baru sahaja merdeka daripada penjajahan.
“Kemudian dalam era Tun Taib, kita melihat pembangunan yang lebih tersusun, dengan ramai anak Sarawak mula menerajui sektor pentadbiran dan kerajaan,” katanya.
Kini Sarawak berada dalam era yang memerlukan pemimpin yang bukan sahaja memahami sejarah dan hak negeri tetapi juga mampu beradaptasi dengan perubahan global, khususnya dalam bidang ekonomi digital, tenaga hijau, dan pembangunan lestari.
Atas kerjasama erat dengan rakan komponen, perubahan ekosistem baharu perlu diambil kira dalam menghadapi cabaran masa depan yang lebih kompleks serta kompetitif dengan negara lain.
Dalam konteks ini, kata Abang Johari, pemimpin pelapis memainkan peranan penting dalam membentuk barisan kepimpinan baharu yang progresif dan berdaya saing.