KUCHING, 12 Feb: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Johari Tun Openg menzahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) atas kepercayaan yang diberikan untuk terus menerajui parti keramat itu.
Ia selepas jawatan Yang Dipertua Parti PBB serta dua Timbalan Yang Dipertua dan dua Naib Yang Dipertua Kanan tidak dipertandingkan dalam konvensyen tritahunan itu kali ini.
Jelasnya, ia membayangkan kehendak pimpinan akar umbi untuk meneruskan usaha PBB ke arah pembangunan lestari serta membentuk pasukan yang boleh menyakinkan rakyat.
“Apa yang penting adalah memberi inti perjuangan yang berteraskan kepada kepentingan Sarawak dalam rangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Dan ini satu amanah di mana pucuk pimpinan PBB dengan kerjasama rakan-rakan GPS untuk kita terus menilai manfaat yang kita terima setakat ini, selanjutnya dalam rangka perjanjian MA63 untuk kita melihat masa depan Sarawak dan juga masa depan negara Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temubual khas bersama Sarawak Tribune dan Suara Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Rabu.
Abang Johari turut optimistik dengan kesatuan dan perpaduan yang utuh dalam kalangan pimpinan PBB dan kerjasama yang diterima daripada komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat menguruskan amanah dengan baik.
Untuk rekod, Perhimpunan Agung Parti PBB Ke-16 dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Februari ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). -TVS