Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Aidel Lariwoo berkata kaedah pembiayaan alternatif dijangka mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan. Foto fail TVS

Kaedah pembiayaan alternatif bantu percepat pembangunan infrastruktur

ByMuqri Aziz

KUCHING, 12 Feb: Kerajaan Sarawak terus mengorak langkah dalam mempercepatkan pembangunan infrastruktur menerusi kaedah pembiayaan alternatif, sebagai penyelesaian kepada cabaran pembiayaan konvensional yang bergantung kepada peruntukan Rancangan Malaysia.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo, menegaskan bahawa pendekatan itu bukan sahaja mempercepatkan pelaksanaan projek tetapi juga mengurangkan impak kenaikan kos bahan binaan dan inflasi jangka panjang.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Datuk Aidel Lariwoo pada Majlis Perasmian Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia 2025. Foto Faitullah Morni (TVS)

“Kalau kita hanya menunggu dana daripada Rancangan Malaysia, prosesnya akan mengambil masa yang lebih lama dan kos pembinaan pula terus meningkat dari tahun ke tahun.

“Dengan pendekatan Alternative Financing ini, kita dapat memastikan projek infrastruktur dapat dilaksanakan lebih cepat, memberikan manfaat segera kepada rakyat,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia 2025 di sini, hari ini. Majlis ini disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, kejuruteraan nilai juga diterapkan dalam setiap projek bagi memastikan perbelanjaan yang efisien serta pulangan nilai yang maksimum.

Ini membolehkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak melaksanakan lebih banyak projek infrastruktur dalam tempoh lebih singkat berbanding kaedah konvensional.

Bagaimanapun, pelaksanaan projek infrastruktur di Sarawak tidak terlepas daripada cabaran utama termasuk kenaikan kos, perubahan iklim dan keperluan transformasi digital.

Sementara itu, Pengarah JKR Sarawak, Cassidy Moris dalam ucapannya turut berkata peningkatan harga bahan binaan menjadi salah satu faktor utama yang memberi tekanan kepada projek-projek sedia ada.

“Kenaikan kos akan menambahkan lagi beban untuk kita melaksanakan projek. Sebab itu, kita perlu memastikan projek berjalan dengan lebih cepat bagi mengelakkan kos tambahan di masa hadapan,” katanya.

Selain itu, perubahan iklim turut memberi kesan kepada sektor pembinaan dengan kejadian tanah runtuh dan cuaca ekstrem menjadi cabaran utama yang dihadapi pasukan teknikal di lapangan.

“Baru-baru ini, kita sangat tertekan sebab tanah runtuh dan ini adalah impak daripada perubahan iklim. Kita perlu mencari pendekatan lebih mampan untuk mengurangkan risiko ini dalam projek-projek akan datang,” jelasnya.

Dalam menghadapi cabaran ini, transformasi digital menjadi keutamaan untuk memastikan projek dapat dipantau dengan lebih cekap dan telus.

Kerjasama antara agensi kerajaan dan industri pembinaan dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem pengurusan projek di Sarawak.

Dengan pendekatan pembiayaan alternatif dan strategi mitigasi cabaran yang komprehensif, Sarawak kini berada di landasan yang kukuh untuk merealisasikan pembangunan infrastruktur yang lebih mampan dan berimpak tinggi bagi rakyat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan