KUALA LUMPUR, 12 Feb: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memastikan setiap murid di negara ini menerima pendidikan yang holistik, inklusif dan berkualiti.
Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, isu kehadiran, keciciran dan akses pendidikan berkualiti merupakan antara agenda utama yang akan terus diberi tumpuan, tanpa sebarang kompromi.
“KPM telah melaksanakan Program Ziarah Cakna yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan, hala tuju pendidikan dan bimbingan kerjaya kepada murid yang berisiko.
“Selain itu, agenda menangani keciciran turut diperkasakan melalui penyediaan Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah (GPMBC), modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI), serta modul kajian kes dan amalan terbaik sebagai panduan kepada guru bimbingan dan kaunseling,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Azli Yusof (Pakatan Harapan – Shah Alam) yang ingin tahu langkah proaktif KPM untuk mengatasi isu-isu berkaitan kehadiran, keciciran dan akses pendidikan yang berkualiti bagi setiap kanak-kanak warganegara Malaysia tanpa mengira latar belakang sebagai komitmen berterusan meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara.
Kah Woh memberitahu, pihaknya juga telah membangunkan Sistem Pengesanan Murid KPM (SiPKPM), yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan pergerakan murid dan mengenal pasti mereka yang berisiko keciciran.
Katanya, bagi memperluaskan akses pendidikan, KPM melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, telah melaksanakan Inisiatif #104 untuk menangani keciciran murid dan memperluas akses pendidikan di peringkat prasekolah hingga menengah atas.
“Bagi tujuan ini, KPM telah melaksanakan program jangkauan yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pelibatan komuniti setempat bagi membantu murid cicir kembali ke sekolah.
“Pada tahun 2024, program ini berjaya mengembalikan 883 murid sekolah rendah dan 1,990 murid sekolah menengah ke dalam sistem pendidikan,” ujarnya.
Sementara itu, bagi memastikan murid di kawasan luar bandar dan pedalaman tidak tercicir, Kah Woh berkata, kementerian telah memperkenalkan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan kini sedang diperluaskan kepada Sekolah Komprehensif 11 (K11), yang bertujuan untuk mengurangkan keciciran semasa transisi dari sekolah rendah ke sekolah menengah.
Selain itu, katanya, KPM juga melancarkan Sistem Aplikasi Pengurusan Ketidakhadiran ke Sekolah Semasa Peperiksaan untuk membantu pihak sekolah merekodkan ketidakhadiran calon peperiksaan SPM, seterusnya merangka strategi intervensi yang bersesuaian.
Pada masa sama, kementerian turut menyediakan 18 jenis bantuan persekolahan untuk membantu murid yang kurang berkemampuan, termasuk bantuan khusus dan umum yang bertujuan mengurangkan risiko keciciran akibat kemiskinan.
“KPM telah menyediakan akses pendidikan digital melalui pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa). Langkah ini merupakan sebahagian daripada reformasi pendidikan yang dilaksanakan KPM bertujuan membolehkan murid menerima akses kepada bahan pembelajaran secara digital, tanpa mengira lokasi mereka,” jelasnya. – TVS