KUALA LUMPUR, 12 Feb: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperkenalkan pendekatan baharu bagi tahun 2025 dengan mengangkat konsep Negara Bangsa bertemakan harmoni dalam kepelbagaian sebagai fokus utama dalam usaha merapatkan jurang sosial serta memperkukuhkan perpaduan rakyat Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, hala tuju pada tahun ini direncanakan melalui pelaksanaan empat ikhtiar utama iaitu Ekosistem Perpaduan, Inisiatif Harmoni MADANI, Eksplorasi Rukun Negara dan Komuniti Sosiobudaya.
“Segala pelaksanaan program dan inisiatif adalah berdasarkan tiga objektif yang digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara iaitu; mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
“Selain itu, membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat menghormati dan bertanggungjawab; serta melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Halimah Ali (Perikatan Nasional – Kapar) berhubung garis panduan untuk jabatan dan agensi kerajaan mengenai aktiviti yang melibatkan unsur keagamaan dan boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.
Sehubungan itu, jelas Aaron, KPN buat masa ini tidak mempunyai sebarang garis panduan untuk jabatan dan agensi kerajaan mengenai aktiviti yang melibatkan unsur keagamaan, namun pihaknya telah mengambil pendekatan melalui pelaksanaan program untuk merapatkan jurang sosial antara rakyat di negara ini.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Willie Mongin (Gabungan Parti Sarawak – Puncak Borneo) berhubung hasrat kementerian untuk menubuhkan kelab-kelab perpaduan di peringkat akar umbi, Aaron berkata, terdapat banyak kelab berkenaan di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti.
“Kita ada hampir di semua peringkat sekolah rendah, menengah dan di peringkat universiti pula, kita ada Sekretariat Rukun Negara yang amat aktif membawa pelbagai aktiviti seperti debat, dialog dan sebagainya.
“Di peringkat kementerian sendiri, kita ada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), satu pertubuhan yang amat aktif dalam membawa program-program seperti program integrasi ke Sabah, Sarawak dan sehingga ke Vietnam, selain daripada di Semenanjung ini,” ujarnya.
Jelasnya, semua kegiatan yang dijalankan oleh kelab-kelab ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman di peringkat akar umbi, bermula dari lapisan masyarakat yang paling rendah hingga ke peringkat yang lebih tinggi. – TVS