KUCHING, 12 Feb: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari optimis syarikat penerbangan baharu milik Sarawak, AirBorneo akan memperkukuhkan kesalinghubungan udara di rantau ini.
Menurut beliau, AirBorneo akan memfokuskan kepada penyediaan perkhidmatan yang seimbang antara keterhubungan, tambang yang berpatutan sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada rakyat.
Katanya, syarikat penerbangan ini akan beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (Full-Service Carrier, FSC), yang bermaksud ia akan menawarkan perkhidmatan yang lebih komprehensif kepada penumpang, termasuklah perkhidmatan dalam penerbangan yang berkualiti tinggi.
“AirBorneo akan terus meningkatkan keterhubungan Sarawak, baik di dalam negara mahupun antarabangsa.Â
“AirBorneo akan tetap memberi tumpuan kepada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (Rural Air Services) dan secara progresif kepada destinasi dalam radius empat jam, sebelum berkembang lebih jauh pada masa hadapan sekiranya pasaran perjalanan memerlukannya,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada majlis penandatanganan Perjanjian Jual Beli (SPA) antara Kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) di sebuah hotel terkemuka di Kuching, hari ini.
Abang Johari memaklumkan, AirBorneo juga dijangka akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kemahiran dan pembangunan bakat di Sarawak.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak sedang bekerjasama rapat dengan MAG bagi memastikan operasi peralihan berjalan dengan lancar.
Kerjasama ini menurut beliau bertujuan untuk memanfaatkan kepakaran dan pengalaman MAG bagi meminimumkan sebarang gangguan dan memastikan standard perkhidmatan yang tinggi dapat dikekalkan.
“Kita merancang untuk terus mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pilihan bagi pelancong dan ahli perniagaan melalui kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan MAG.
“Inisiatif ini dijangka akan menarik lebih ramai pelawat ke Sarawak dan Sabah, sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan perniagaan di kedua-dua negeri.
“Kita juga berhasrat untuk bekerjasama dengan MAG dalam program latihan bagi pembangunan industri penerbangan,” ujar beliau.
Selain MAG, beliau memberitahu Sarawak terbuka untuk meneroka peluang kerjasama dengan pengeluar peralatan asal (OEM) seperti Boeing, Airbus, COMAC, Embraer, atau ATR.Â
Namun, tegas Abang Johari sebarang kerjasama yang dijalinkan harus membawa nilai tambah yang tinggi kepada Sarawak dan membantu membangunkan industri aeroangkasa negeri ini, katanya. – TVS