KUCHING, 12 Feb: Pengambilalihan hak milik MASwings yang dijenamakan sebagai AirBorneo oleh Sarawak dijangka selesai menjelang akhir tahun ini susulan pemeteraian Perjanjian Jual Beli (SPA) antara Malaysia Aviation Group (MAG) dan kerajaan negeri hari ini.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, MAG memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, termasuk pemegang saham Khazanah Nasional Berhad bagi memastikan peralihan berjalan lancar serta mematuhi semua rangka kerja undang-undang dan peraturan berkaitan.
“Sepanjang tempoh peralihan ini, MASwings akan terus beroperasi seperti biasa di bawah seliaan MAG tanpa gangguan jadual penerbangan, bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan udara kepada komuniti yang bergantung kepadanya.
“MAG kekal komited untuk memastikan penyerahan berjalan lancar serta menyokong pertumbuhan jangka panjang sektor penerbangan dan pelancongan Malaysia demi manfaat rakyat,” menurut kenyataan itu.
Selepas peralihan ini, MAG akan terus memperkukuh landskap penerbangan negara menerusi anak syarikatnya, Malaysia Airlines, Firefly, dan Amal, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam rangkaian hubungan serantau dan global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ketika merasmikan majlis itu, berkata bahawa AirBorneo bakal beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (full-service carrier) yang menawarkan pengalaman penerbangan berkualiti tinggi kepada penumpang.
Pada masa sama, Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) akan terus dikekalkan bagi memastikan penduduk luar bandar mendapat akses kepada pengangkutan udara yang efisien.
Sebagai langkah memperluaskan rangkaian penerbangan, AirBorneo turut menjalinkan kerjasama strategik serta perjanjian perkongsian kod dengan Malaysia Airlines bagi memperkukuh kesalinghubungan global Sarawak. – TVS