KUCHING, 12 Feb: Penubuhan syarikat penerbangan Sarawak, AirBorneo serta pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) yang baharu menjadi platform bagi memperkukuh sinergi ekonomi serta mengubah landskap Sarawak.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, inisiatif terbabit bukan sekadar pelaburan awam, tetapi mencerminkan visi berani dan strategik untuk masa depan Sarawak.
“Kawalan terhadap perkhidmatan udara kita adalah penting, ia bukan sahaja untuk memudahkan pengangkutan penumpang, tetapi juga sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi.
“Dengan mengambil langkah strategik ini, kita sedang memposisikan dan mentransformasikan Sarawak sebagai hab penerbangan utama di Borneo dan pintu masuk ke ASEAN, membuka peluang baharu serta meningkatkan keterhubungan dan aksesibiliti ke destinasi domestik serta antarabangsa.
“Ini memberi kita kuasa untuk mengawal dan mengurus keterhubungan udara, membolehkan kita menyesuaikan perkhidmatan yang memenuhi keperluan rakyat dan ekonomi negeri,” katanya ketika berucap pada majlis penandatanganan Perjanjian Jual Beli (SPA) antara Kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) di sebuah hotel terkemuka di Kuching, hari ini.
Tambah Abang Johari, pembangunan KIA yang baharu merupakan komponen penting dalam strategi infrastruktur Sarawak yang akan meningkatkan operasi logistik dan perdagangan.
Lapangan terbang antarabangsa yang bakal dibangunkan di Tanjung Embang itu katanya, bakal dilengkapi dengan kemudahan canggih serta sambungan intermodal yang lebih baik.
Beliau turut berkata, Sarawak berhasrat untuk menjadi pengeksport makanan bersih menjelang 2030, dengan memanfaatkan keupayaan pengangkutan udara kargo yang lebih baik bagi menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.
“Semua inisiatif ini sejajar dengan aspirasi kita di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, dengan matlamat menjadikan Sarawak sebagai hab ekonomi yang dinamik di Malaysia dan rantau ini,” katanya lagi. – TVS