Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Amirul Feisal Wan Zahir berkata peralihan itu merupakan satu detik bersejarah bagi industri penerbangan Malaysia, khususnya di Borneo. Foto: Nadim Bokhari (TVS)

AirBorneo: Era peralihan Sarawak kukuhkan rangkaian udara Borneo

ByRegina Lee

KUCHING, 12 Feb: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo mengorak langkah ke era baharu dengan penjenamaan semula selepas pengambilalihan MASwings yang diakui sebagai satu langkah strategik dalam mengukuhkan rangkaian udara negeri ini dan Sabah serta memacu pertumbuhan ekonomi.

Menurut Ahli Lembaga Malaysia Aviation Group (MAG), Dato Amirul Feisal Wan Zahir, peralihan ini merupakan satu detik bersejarah bagi industri penerbangan Malaysia, khususnya di Borneo.

“MASwings bukan sekadar syarikat penerbangan. Ia adalah perkhidmatan asas yang menyokong kehidupan, menghubungkan komuniti, dan memperkukuh struktur sosioekonomi negeri.

“Itulah sebabnya peralihan ini begitu penting. Ia memastikan talian hayat ini kekal kukuh, boleh dipercayai, dan responsif terhadap keperluan unik setiap komuniti di Borneo,” katanya.

Beliau berucap Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) antara Kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Sejak penubuhannya pada 1 Oktober 2007, MASwings telah memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan udara kepada penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar dan kini, dengan identiti baharu sebagai AirBorneo, syarikat ini bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam menyokong pembangunan ekonomi negeri.

Ujar Amirul Feisal, Sarawak kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif pemodenan ekonomi dalam sektor perindustrian, pelancongan, pertanian, dan tenaga.

Dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjurkan antara 5 hingga 6 peratus pada tahun 2025, beliau berkata AirBorneo dijangka menjadi pemacu utama dalam memperkukuh sektor-sektor ini melalui sistem pengangkutan udara yang lebih efisien.

“Peningkatan rangkaian penerbangan bukan sahaja akan mempercepatkan perkembangan industri pelancongan dengan menarik lebih ramai pelancong ke Sarawak, tetapi juga akan membantu sektor pertanian dan industri berasaskan agro dengan menyediakan perkhidmatan kargo udara yang lebih baik.

“Ini akan menyokong ekonomi luar bandar dan meningkatkan potensi eksport,” tambahnya.

Menghadapi cabaran industri penerbangan pasca pandemik, termasuk kekangan rantaian bekalan dan perubahan permintaan pasaran, MAG komited untuk memastikan peralihan AirBorneo berjalan lancar.

“Kami bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak bagi memastikan kesinambungan operasi yang stabil tanpa sebarang gangguan.

“Penerbangan akan diteruskan seperti biasa, dan penduduk Sarawak serta Sabah boleh yakin bahawa perkhidmatan udara mereka tidak akan terjejas,” katanya.

MAG akan terus menjalinkan kerjasama erat lagi dengan AirBorneo bagi sama-sama merealisasikan aspirasi untuk menjadikan Sarawak sebagai hab penerbangan serantau yang lebih dinamik. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan