GOMBAK, 11 Feb: Cuaca panas terik di sekitar ibu negara hari ini tidak mematahkan semangat puluhan ribu penganut Hindu membanjiri Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves, di sini sempena Thaipusam.
Difahamkan penganut agama berkenaan menyambut Thaipusam yang merupakan perayaan keagamaan bagi merayakan kemenangan Dewa Murugan melawan kejahatan.
Tinjauan TVS mendapati ramai penganut Hindu berjalan tanpa alas kaki dengan penuh ketekunan serta ada yang membawa ‘kavadi’, iaitu struktur hiasan yang dipikul di bahu sebagai tanda pengorbanan dan kesyukuran kepada Dewa Murugan.
Ritual ini dilakukan sebagai simbol kesetiaan dan tekad mereka untuk menebus dosa dengan mengharungi perjalanan sejauh 15 kilometer (km).
Setibanya di Batu Caves, mereka menaiki 272 anak tangga untuk sampai ke kuil utama di dalam gua.
Pekerja swasta, Vijaya Muniandy, 57, yang hadir berkongsi pengalamannya membawa susu dalam belanga tembikar.
“Saya menghidap kanser payudara tahap dua dan berasa sangat risau namun saya berdoa. Saya amat gembira kerana kanser tidak merebak dan sudah reda,” katanya.
Bagi seorang lagi penganut Hindu, Selvandran Rajendran, 45, dia berkongsi kejayaan berpuasa selama 48 hari sebelum Thaipusam.
“Pukul pukul 7.30 malam dan ke atas barulah saya boleh berbuka puasa. Hari ini sudah tidak puasa kerana sudah selesai laksanakannya.
“(Semasa berjalan ke kuil) tidak boleh memakai kasut, memang panas tetapi selepas selesai puasa, saya tidak rasa begitu panas,” katanya.
Selain itu, suasana di Batu Caves turut dipenuhi dengan pelancong dari seluruh dunia untuk menyaksikan ritual berwarna – warni itu.
Seorang pelancong berasal dari Kanada, Lochlan Monroe berkata, pengalaman berada di Batu Caves pada hari ini akan menjadi perkara yang tidak dapat dilupakan olehnya.
“Saya berasal dari kota kecil, oleh itu berada dalam kelompok orang yang terlalu ramai merupakan pengalaman menakjubkan.Saya gembira kerana dapat melihat pelbagai budaya dan perasaan kegembiraan mereka yang hadir di sini. Ia sesuatu yang sangat luar biasa,” ujarnya.
Kata Lochlan, dia tidak sempat untuk menaiki tangga untuk menuju kuil di Batu Caves kerana cuaca panas.
Dalam pada itu, bagi seorang lagi pelancong dari Mesir, Omar Murtaza, 29, dia berpendapat bahawa semangat para penganut Hindu di sini perlu dikagumi.
Dia turut teruja melihat ramai pelancong asing yang turut menyertai perayaan Thaipusam di Batu Caves. – TVS.