Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemain import baharu dari Sepanyol, Alvaro Gonzalez mencipta nama pada penampilan sulung bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan dua jaringannya membolehkan skuad Harimau Selatan menewaskan Central Coast Mariners 2-1 di Gosford, New South Wales, Australia, hari ini. Foto JOHOR Southern Tigers (FB)

Sentuhan Gonzalez bantu JDT benam Central Coast Mariners 2-1

ByBernama

KUALA LUMPUR, 11 Feb: Pemain import baharu dari Sepanyol, Alvaro Gonzalez mencipta nama pada penampilan sulung bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan dua jaringannya membolehkan skuad Harimau Selatan menewaskan Central Coast Mariners 2-1 di Gosford, New South Wales, Australia, hari ini.

Jaringan pemain pertahanan berusia 35 tahun itu dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) mencerahkan peluang JDT untuk melangkah ke pusingan 16 terakhir apabila mendaki tangga kelima Kumpulan Zon Timur dengan mengumpul 11 mata.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Industree Group, Gosford, anak buah Hector Bidoglio mempamerkan aksi yang bertenaga sejak awal permainan apabila berjaya mencipta beberapa peluang berbanding pasukan tuan rumah.

Asakan bertali arus jentera serangan memaksa penjaga gol Central Coast Mariners, Dylan Peraic Cullen melakukan kesilapan pada penghujung babak pertama apabila mengasari penyerang prolifik kebangsaan Arif Aiman Mohd Hanapi yang mempunyai peluang keemasan menjaringkan gol.

Hasil semakan video bantuan pengadil (VAR), pengadil membuat keputusan melayangkan kad merah selepas mendapati Dylan Peraic menafikan peluang jelas jaringan untuk Arif Aiman meletakkan JDT di hadapan.

Susulan insiden itu, JDT diberikan sepakan percuma yang hampir meletakkan Harimau Selatan di hadapan namun jaringan Bergson Da silva yang bijak melakukan tindakan susulan selepas sepakan Heberty terkena tiang gol dibatalkan apabila pemain itu didapati berada di kedudukan ofsaid selepas semakan VAR.

Memasuki separuh masa kedua, Bergson sekali lagi hampir berjaya meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-50 namun rembatannya berjaya diselamatkan penjaga gol gantian tuan rumah, Adam Pavlesic.

Jaringan yang ditunggu-tunggu JDT akhirnya hadir pada minit ke-64 apabila Gonzalez bijak menendang masuk hantaran Arif Aiman untuk membuka akaun jaringannya bersama Harimau Selatan.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Central Coast Mariners berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang gantian Alou Kuol selang enam minit kemudian.

Gonzalez sekali lagi meletakkan namanya sebagai penjaring pada minit ke-79 apabila menanduk masuk hantaran silang Heberty untuk mengesahkan kemenangan 2-1 JDT pada aksi itu.

Skuad Harimau Selatan seterusnya akan melayan kunjungan kelab Korea Selatan, Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada aksi terkakhir peringkat kumpulan, 19 Feb ini.

Hanya lapan pasukan teratas selepas lapan aksi peringkat liga akan mara ke pusingan 16 terbaik. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan