KUCHING, 11 Feb: Usaha berterusan sedang giat dijalankan oleh pelbagai pihak, khususnya warga pendidik, bagi memastikan sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir di seluruh Sarawak dapat dibuka semula pada minggu hadapan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata persiapan rapi perlu dilakukan bagi memastikan sekolah yang terkesan berada dalam keadaan bersih, selamat dan kondusif sebelum pelajar kembali ke sesi persekolahan.
*”Saya sangat bersimpati dengan masyarakat dan guru-guru yang berdepan cabaran besar dalam memastikan sekolah-sekolah dapat dibuka semula tepat pada masanya.
“Saya memahami kepayahan yang mereka lalui—siang dan malam tanpa tidur mencukupi dalam fasa pascabanjir ini kerana terlalu banyak yang perlu dilakukan,”* katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa dalam STEM, anjuran Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut ADUN Dalat itu, keadaan di kawasan terjejas, seperti di Dalat, amat membimbangkan kerana banjir telah menyebabkan kerosakan teruk kepada rumah dan sekolah rendah, selain memusnahkan harta benda serta memutuskan bekalan air bersih, elektrik dan telekomunikasi.
“Keadaan ini lebih mencabar bagi sekolah-sekolah berasrama yang mengalami kemusnahan hampir sepenuhnya.
“Sebuah sekolah asrama di kawasan saya mengalami kerosakan besar, termasuk kemudahan penting seperti tilam dan bilik-bilik kecil. Ini sudah pasti menjejaskan persiapan sesi persekolahan yang dijadualkan bermula minggu hadapan,”* jelasnya.
Fatimah turut menyatakan kebimbangan masyarakat yang semakin meningkat setiap kali hujan lebat dan angin kencang melanda, kerana mereka masih trauma dengan impak bencana tersebut.
“Bencana ini memberikan tekanan kepada semua pihak yang bekerja siang dan malam untuk membantu mangsa banjir,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan keselamatan mangsa serta membekalkan keperluan asas kepada mereka yang terjejas.
Takwim persekolahan bagi sesi 2025 dijadualkan bermula pada 17 Februari di seluruh negara.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pada 8 Februari lalu, memaklumkan bahawa proses baik pulih sekolah-sekolah terjejas di Sabah dan Sarawak dijangka menelan kos besar kerana banyak fasiliti musnah sepenuhnya.
Namun, beliau menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan akan memastikan semua sekolah berada dalam keadaan bersih, selamat dan kondusif bagi membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlangsung dengan baik.
Untuk rekod, sejak hujung Januari lalu, banjir besar melanda banyak kawasan di Sarawak, menyebabkan kerosakan meluas kepada harta benda, termasuk sekolah.