KUCHING, 11 Feb: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda kepimpinan kontemporari dengan penubuhan Institut Kepimpinan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata penubuhan tersebut bertujuan melahirkan generasi pemimpin berwawasan dan inklusif di negeri ini.
“Institut ini akan menjadi pemacu utama bagi membentuk generasi pemimpin akan datang dengan visi strategik, tadbir urus dan tindakan secara inklusif,” katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan Sidang Kemuncak Institut Kepimpinan Kontemporari (CLIS) 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini pada Selasa.
Menjelaskan lanjut, Abang Johari berkata Institut Kepimpinan itu akan diterajui Institut Pengurusan Sarawak (MASA).
Manakala Yayasan Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia (MyREF) akan memainkan peranan penting dalam membentuk program pendidikan dan latihan kepimpinan serta agenda penyelidikannya.
“Usaha ini tidak boleh dilakukan secara bersendirian, pembangunan kepimpinan menjadi lebih berkesan apabila dilaksanakan secara bersama rakan strategik.
“Kerjasama ini adalah bukti apa yang boleh dicapai apabila institusi bersatu dengan visi bersama,” katanya.
Beliau turut komited untuk memastikan penubuhan institut bukan sahaja lengkap tetapi berjaya mencapai misinya. – TVS