MIRI, 11 Feb: Kerajaan Sarawak menyasarkan kemasukan lima juta pelancong pada tahun ini selepas mencatatkan prestasi cemerlang dalam sektor pelancongan pada tahun lalu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, negeri ini merekodkan 4,831,650 kedatangan pelancong sepanjang tahun lalu, melebihi sasaran awal sebanyak empat juta.
“Pada awal 2024, sasaran kita adalah empat juta pelancong, tetapi menjelang Disember, jumlah kemasukan telah mencapai 4.831 juta. Hasil daripada sektor pelancongan ini adalah sebanyak RM12.454 bilion.
“Untuk tahun ini, sasaran kita adalah lima juta pelancong. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga telah menegaskan dalam Belanjawan Sarawak 2025 bahawa jumlah ini perlu dicapai dan kita sedang berusaha ke arah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena persembahan Dr. Jason Leong Live IUn Miri di Hotel Pullman Miri Waterfront, hari ini.
Dalam majlis itu, beliau turut memaklumkan bahawa 10 peratus daripada hasil jualan tiket persembahan tersebut akan disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) bagi membantu mangsa banjir di wilayah ini.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Pusat Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Pujut, Kelvin Hii, yang mewakili Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, menyatakan sokongan terhadap penganjuran acara hiburan yang berpotensi menghidupkan suasana bandar raya ini.
“Miri merupakan lokasi strategik kerana berdekatan dengan Brunei dan mempunyai akses penerbangan antarabangsa, termasuk dari Singapura,” katanya. – TVS