MIRI, 11 Feb: Orang ramai diseru untuk menyertai inisiatif Gotong-Royong Pembersihan Komuniti Miri bagi membersihkan sampah, sisa buangan dan serpihan akibat banjir yang melanda beberapa kawasan di Miri baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata pasukan khas yang diketuai oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri dan diselaraskan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah menjalankan penilaian menyeluruh untuk mengenal pasti kawasan yang terjejas.
“Sebanyak 11 kawasan telah dikenal pasti, dengan aktiviti pembersihan telah pun dijalankan di Sungai Adong dan Pujut Tanjung Batu.
“Kami menyeru organisasi korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat untuk turut serta dalam gotong-royong ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kim Shin yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada organisasi korporat dan sukarelawan yang telah tampil membantu dalam inisiatif ini.
“Kami amat menghargai sumbangan Shin Yang Group Berhad serta pasukan mereka yang aktif dalam usaha pembersihan di Sungai Adong, Pujut Tanjung Batu, dan Desa Senadin hari ini di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa beberapa entiti korporat lain seperti Naim Cendera Holdings Berhad dan Miri Housing serta beberapa organisasi sukarela telah menyatakan komitmen mereka untuk turut serta.
Menurutnya, jumlah sampah dan bahan buangan adalah sangat banyak sambil menyatakan sasaran adalah untuk membersihkan bandar raya Miri dalam tempoh seminggu.
“Adalah penting untuk semua sampah dan bahan buangan ini dibuang dengan betul kerana selain mencacatkan pemandangan, ia juga boleh menjadi ancaman kepada kesihatan awam,” katanya. – TVS