TATAU, 11 Feb: Misi penghantaran bantuan makanan kepada penduduk yang terputus hubungan akibat banjir di Daerah Tatau telah selesai hari ini.
Menurut Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong Endawi dalam satu kenyataan, jumlah keseluruhan bantuan yang dihantar adalah sebanyak 80,535 kilogram (kg).
“Sebanyak 80,535 kilogram (kg), yang diagihkan melalui tiga kaedah utama: Helikopter PGU sebanyak 23,270kg, melalui sungai sebanyak 20,839kg dan menggunakan laluan darat sebanyak 36,426kg,” menurut kenyataan itu.
Dalam misi penghantaran ke Ulu Anap, Pegawai Bencana Daerah Tatau, Raden Azamry Raden Perhan, turut menyampaikan bekalan ubat dari Klinik Kesihatan Tatau kepada Tuai Rumah Mapang.
Misi ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah Tatau, Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat, IPD Tatau,Bomba Tatau, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Pendidikan Daerah Tatau Sebauh danAngkatan Tentera Malaysia (ATM).
Turut hadir dalam operasi ini ialah Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong, Penolong Pegawai Daerah Tatau, Winnie Dian dan Pegawai Bencana Daerah Tatau, Raden Azamry Raden Perhan. – TVS