CYBERJAYA, 11 Feb: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat enam individu yang dipercayai memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik berkaitan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja di platform media sosial Facebook.
MCMC dalam kenyataan pada Selasa menyatakan satu operasi pemeriksaan dijalankan ke atas salah seorang suspek di Setapak, Kuala Lumpur yang dipercayai memuat naik kandungan palsu mengenai Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
“Dalam serbuan itu, pihak berkuasa telah menyita satu unit telefon pintar dan satu kad sim yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan. Analisis forensik akan dilakukan bagi mendapatkan bukti kukuh,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, seorang lagi suspek akan disoal siasat esok (12 Februari) oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.
“Operasi pemeriksaan terhadap empat suspek lain akan diteruskan sepanjang minggu ini di beberapa lokasi berasingan, termasuk Sungai Petani, Kota Bharu, Kerian, dan Teluk Intan,” tambah MCMC.
Sebelum ini, MCMC telah mengeluarkan dua notis kepada dua individu untuk hadir memberi keterangan berhubung kandungan yang dimuat naik mereka di Facebook.
Setelah siasatan selesai, kes ini akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan platform dalam talian untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.
Pengguna digalakkan untuk menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum berkongsi, termasuk menggunakan Chatbot AIFA melalui portal Sebenarnya.my dan aplikasi WhatsApp yang tersedia dalam empat bahasa: Melayu, Inggeris, Mandarin, dan Tamil. – TVS