KUCHING, 11 Feb: Dunia fesyen terus berkembang dengan inovasi dan kreativiti, namun kisah seorang anak kelahiran Sarawak yang menceburi diri bidang pembuatan kasut menjadi sumber inspirasi kepada wanita muda yang beraspirasi untuk mengejar impian mereka.
Zurenawatte Zaidil, 51, mula mengukir nama di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa dengan kepakarannya dalam bidang pembuatan kasut.
Bermula sebagai salah seorang pembuat manik tanah liat, Zurena kini memilih untuk menceburi bidang pembuatan kasut tempatan dengan matlamat untuk menjadi pengeluar pertama kasut di Sarawak.
“Pada awalnya, saya terlibat dalam bidang kraftangan dengan menghasilkan manik tanah liat. Kemudian, saya terjumpa kursus yang ditawarkan oleh Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEX) dan memutuskan untuk menyertainya selama enam bulan.
“Namun, saya melihat peluang yang lebih besar dalam industri kasut kerana Sarawak belum mempunyai pengeluar kasut tempatan. Oleh itu, saya bertekad untuk menjadi yang pertama dalam bidang ini dan seterusnya meneroka pasaran di Sarawak serta di peringkat global,” katanya pada sidang media Hari Wanita Antarabangsa 2025 Peringkat Zon Borneo di Kuching, hari ini.
Kursus tersebut memberi peluang kepada Zurena untuk mempelajari teknik dan pengetahuan yang lebih mendalam tentang pembuatan kasut dan menghasilkan reka bentuk yang lebih kreatif dan menarik.
Setelah tamat kursus, wanita berasal dari Semariang itu berjaya untuk menjadi salah seorang yang terpilih untuk menyertai kursus di Itali.
Menariknya, semasa kursus tersebut dia berpeluang mendapatkan ilmu langsung dari pereka-pereka terkenal, termasuk Datuk Jimmy Choo.
“Kursus tersebut berlangsung selama enam bulan, diikuti dengan percubaan selama tiga bulan. Mereka yang terbaik dipilih untuk ke Itali dan saya berpeluang berada di sana selama dua minggu.
“Di Itali, kami didedahkan dengan industri pembuatan yang telah maju jauh berbanding di sini. Cara pembuatan mereka lebih berorientasikan kilang, melibatkan penggunaan bahan dan proses pembuatan yang sangat berbeza. Pengalaman tersebut memang memberi kesan yang mendalam dan amat mengujakan.
“Selain itu, Datuk Jimmy Choo banyak berkongsi tips berharga mengenai cara untuk menjadikan kasut lebih menarik dan kreatif, serta bagaimana mempelbagaikan reka bentuk dengan penggunaan bahan yang pelbagai. Pengalaman ini memberi saya pendedahan yang sangat besar dan memberi inspirasi dalam bidang ini,” katanya.
Biarpun baharu dalam bidang ini, dia bertekad untuk merealisasikan impian mengembangkan pasaran kasut di Sarawak, yang selama ini belum mempunyai pengeluar kasut tempatan.
Melalui visi besar ini, Zurena berhasrat untuk memperkenalkan produk kasut Sarawak ke pasaran yang lebih luas, dengan harapan dapat mengangkat keunikan dan kualiti hasil kerja tangan tempatan ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Sarawak masih belum mempunyai pengeluar kasut, saya berhasrat untuk menjadi yang pertama dalam bidang ini. Selain itu, kami ingin meneroka pasaran di Sarawak dan juga di peringkat global.
“Kami baharu sahaja melancarkan kasut pertama pada bulan Januari lalu dan kini sudah memulakan pemasaran pada bulan Februari,” katanya.
Sempena Hari Wanita Antarabangsa, dia juga menyeru golongan wanita di luar sana agar tidak takut untuk mencuba sesuatu perkara.
Melalui kisah inspirasi ini, dia berharap agar lebih ramai lagi wanita menceburi diri dalam pelbagai bidang terutamanya dalam ekonomi jingga.
“Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baharu. Cabar diri anda sendiri dan yakinlah, anda pasti boleh berjaya,” katanya.
Impian untuk membawa produk tempatan ke peringkat antarabangsa bukan sahaja memperlihatkan potensi besar dalam industri ini, tetapi juga memberikan harapan dan motivasi kepada usahawan muda, terutamanya wanita, untuk mengejar impian mereka dan memberi sumbangan kepada ekonomi serta budaya tempatan.-TVS