ASAJAYA, 11 Feb: Pasukan veteran X-SPT FC membenam pasukan veteran Kamsla FC dengan menjaringkan tujuh gol berbalas dua dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Kampung Sambir pada Ahad lalu.
Ketinggalan satu gol pada babak pertama ternyata tidak mematahkan semangat skuad yang diketuai oleh Napi Muhammad untuk memberikan cabaran.
Peluang untuk menyamakan kedudukan akhirnya terhidang selepas X-SPT memperoleh sepakan penalti akibat bola terkena tangan pertahanan Kamsla pada minit ke-45.
Namun kecekapan penjaga gawang lawan mudah menepis tendangan yang dilakukan oleh Musa Hamid.
Usaha untuk menyamakan kedudukan akhirnya terbalas apabila pemain sayap kiri, Arpis Harfizi, menyudahi jaringan menerusi gerakan solo dari sebelah kiri pada minit ke-50.
Selang dua minit kemudian, Arpis memanfaatkan peluang susulan kecuaian pertahanan Kamsla, yang gagal mengawal baik bola lantun, dengan mudah menolak masuk bola ke gawang untuk menewaskan penjaga gol Kamsla.
Kemasukan pemain import dari Sambas, Iwan Rodieger, untuk menggantikan posisi Jamil Ramli yang cedera di sayap kanan, membuahkan hasil.
Iwan tidak mensia-siakan peluang untuk beraksi apabila beliau membantu Arpis menyempurnakan hatrik dengan melakukan dorongan menarik dari sebelah kanan yang disudahi dengan tolakan mudah kaki kiri Arpis ke dalam gawang gol pada minit ke-70.
Iwan sekali lagi menambah duka pasukan lawan menerusi satu jaringan menarik hasil rembatan kencang kaki kiri dari luar kotak penalti pada minit ke-73.
Percubaan pasukan Kamsla bangkit berhasil apabila berjaya menambah satu lagi jaringan pada minit ke-74.
Kesilapan pemain pertahanan Kamsla sekali lagi dihukum dengan jaringan apabila pemain tengah X-SPT, Abang Cottah, menyempurnakan tendakan percuma dari bahagian luar kotak penalti pada minit ke-81.
Gol terakhir pasukan dijaringkan oleh Ramli pada minit ke-88. -TVS