MIRI, 11 Feb: Polis menahan enam lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 46 tahun disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, serbuan yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu dilakukan sekitar jam 12.20 tengah malam hingga 1.05 pagi.
“Hasil pemeriksaan di pusat hiburan tersebut, pasukan serbuan menjumpai dan merampas dadah jenis ecstasy dan ketamin seberat 245.26 gram dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM3,340,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Miri untuk permohonan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39B, pesalah boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau, jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Alexson turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan mereka.
“Kami menggesa masyarakat supaya segera melaporkan sebarang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah ke balai polis berhampiran agar jenayah ini dapat dibanteras bersama,” tambahnya. -TVS