KUCHING, 11 Feb: Datuk Ibrahim Baki bersedia memainkan peranan lebih besar dalam usaha membantu kepimpinan tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sekiranya diberikan mandat sebagai Naib Presiden Sayap Bumiputera.
Menurutnya, amanah yang lebih besar menanti, termasuk membantu dalam perancangan dasar dan hala tuju parti serta memastikan suara rakyat dan ahli pada peringkat akar umbi terus didengar.
“Jika dipilih, saya akan terus komited mendukung perjuangan parti.
“Tanggungjawab lebih besar menanti, termasuk membantu kepimpinan merangka dasar serta mendengar denyut nadi rakyat dan ahli di peringkat akar umbi,” katanya.
Ibrahim menegaskan bahawa perpaduan dalam PBB akan terus kukuh walaupun wujud pertandingan bagi jawatan Naib Presiden pada Perhimpunan Agung PBB kali ini.
Menurutnya, pemilihan dalam PBB bukan medan perpecahan, sebaliknya satu proses demokrasi untuk mengukuhkan kepimpinan parti.
“Selepas pemilihan, kita tetap bersatu.
“Tiada permusuhan, tiada dendam kerana perjuangan kita adalah untuk parti dan rakyat,” katanya.
Jelas Timbalan Setiausaha Agung PBB itu, beliau pada awalnya tidak bercadang untuk bertanding, namun selepas menerima banyak pencalonan dan sokongan daripada rakan-rakan dalam parti, beliau akhirnya membuat keputusan untuk menawarkan diri.
“Sebagai ahli parti, saya tidak pernah mengejar pangkat atau darjat, tetapi apabila ramai rakan mencalonkan dan memberikan sokongan, saya tidak mahu mengecewakan mereka, lalu saya menawarkan diri,” katanya.
Mengimbas kembali pelibatannya dalam PBB, Ibrahim berkata beliau telah aktif sejak 1985 sebagai Ketua Pemuda pada peringkat cawangan.
Pada 1987, beliau dipilih untuk menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pemuda PBB pada peringkat negeri, dan seterusnya memegang jawatan Setiausaha Agung serta Naib Presiden Pemuda selama 15 tahun.
Kini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Agung PBB, Bendahari Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Ketua Whip Parti.
Ketika ditanya tentang keyakinannya untuk memenangi jawatan Naib Presiden, Ibrahim menyerahkan keputusan kepada para perwakilan.
“Saya tidak boleh kata terlalu yakin atau tidak yakin. Semuanya terpulang kepada kebijaksanaan perwakilan.
“Ahli-ahli PBB sangat matang dan memahami perjuangan parti,” ujarnya. -TVS