KUCHING, 11 Feb: Pelbagai isu atau masalah projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Sarawak dibincangkan Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, beliau turut berbincang dengan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bagi memohon pandangan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkaitan projek.
“Kita mohon pandangan daripada semua pihak dan bertukar fikiran mengenai bagaimana untuk melangkah ke depan dalam mencari penyelesaian terhadap isu atau masalah projek lewat dilaksanakan ini.
“Ini tepat pada masanya, kerana pada tahun depan kita akan bermula RMK-13 yakni projek-projek yang diperuntukkan untuk Sarawak dan Sabah kita selaraskan supaya mudah untuk kita mendapat peruntukan daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai kunjungan hormat kepada Abang Johari di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Jelasnya, pembentangan kepada Premier Sarawak membabitkan projek yang diluluskan, sedang dilaksanakan dan projek sambungan.
“Dalam RMK-12 ini, terdapat banyak pelaksanaan projek infrastuktur seperti jalan raya, jambatan, sekolah dan hospital,” ujarnya.
Jelas Nanta lagi, antara perkongsian lain yang turut dibincangkan adalah mengenai penggunaan teknologi baharu seperti Building Information Modelling.
Mengenai anggaran kos kerugian akibat bencana banjir dan tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini katanya, pihaknya kini sedang melakukan penilaian.