KUALA LUMPUR, 11 Feb: Bekas penyerang bola sepak kebangsaan, Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak mengesahkan anak bongsunya meninggal dunia hari ini.
Zaquan Adha berkata, anak ketujuhnya Muhammad Aisy Al Rees yang berusia tujuh bulan hasil perkongsian hidupnya dengan pelakon Ayu Raudhah meninggal dunia petang tadi di kediaman mereka di Seremban, Negeri Sembilan.
“Salam semua, anak bongsu kami telah kembali kepada pencipta-NYA sebentar tadi, doakan saya dan isteri kuat untuk dugaan ini,” kongsinya menerusi hantaran di instastory sebentar tadi.
Pasangan selebriti berkenaan yang berkahwin pada 2011 sebelum ini dikurniakan enam anak.
Pada Ogos 2024, Ayu Raudhah melahirkan cahaya mata ketujuhnya di sebuah pusat perubatan swasta di Negeri Sembilan.
Sementara itu memetik laporan Sinar Harian, pelakon Rozita Che Wan yang merupakan kakak kepada Ayu Raudhah berkata, anak saudaranya itu meninggal dunia ketika tidur.
“Kejadian berlaku lebih kurang pukul 1 petang tadi, Ayu terus hubungi talian kecemasan bila lihat anaknya tidak sedar,” katanya. -TVS.