PUTRAJAYA, 10 Feb: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan negara Turkiye sebagai pengantara yang dipercayai dalam hal ehwal keamanan antara Timur Tengah dan Eropah.
Anwar berkata, dengan kepimpinan yang diterajui Presidennya, Recep Tayyip Erdogan, Turkiye kini menjadi kuasa global yang memiliki reputasi sebagai pengantara yang dipercayai.
Jelasnya, republik itu tegas dalam memberikan sokongan berterusan dalam isu genosid yang berlaku di Palestin pada saat prinsip menjadi taruhan pemimpin antarabangsa.
“Sokongan Turkiye tidak mampu diungkap – ia nyata, diplomatic dan tabah. Meskipun yang lain teragak-agak, beliau tetap tegas. Apabila perhatian global semakin meningkat, beliau telah memastikan bahawa sokongan untuk Palestin diterjemahkan ke dalam tindakan yang bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan aluan pada Syarahan Umum oleh Presiden Republik Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, Turkiye telah bangkit semula dalam aspek ekonomi dan infrastruktur serta diplomasi menerusi kepimpinan Erdogan.
Beliau juga mengiktiraf kemajuan teknologi yang dilaksanakan oleh republik itu.
“Kejayaan itu adalah satu pencapaian yang besar buat industri. Projek kenderaan elektrik Kumpulan Usahasama Automotif Turkiye (TOGG), kemajuan dalam teknologi angkasa dan evolusi pesat kemampuan kecerdasan buatan (AI) adalah petunjuk (Turkiye) sebuah negara yang enggan dibelenggu oleh kekangan jangkaan masa lalu,” katanya.
Terdahulu, Erdogan telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa oleh Canselor Universiti Malaya (UM) yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai penghormatan tertinggi terhadap sumbangan beliau dalam bidang diplomasi global, perundingan antarabangsa serta hubungan geopolitik. – TVS