PUTRAJAYA, 10 Feb: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti semula dan mengemas kini silibus latihan polis bantuan dan syarikat keselamatan bagi memastikan mereka lebih bersedia menghadapi ancaman keselamatan terkini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah ini diambil susulan perkembangan terbaharu yang menunjukkan keperluan memperkukuh keupayaan pasukan keselamatan tambahan di premis-premis strategik.
“Perkara ini saya akan minta kepimpinan pihak Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan untuk meneliti dan memastikan bahawa kita dapat mengatasi isu kerisauan rakyat ini.
“Kompleks sebegitu sudah tentu akan mendapatkan khidmat daripada syarikat keselamatan ataupun polis bantuan dan syarat sebelum memulakan tugasan itu adalah mereka mesti dilatih oleh pasukan polis bagi menghadapi situasi yang boleh mengancam nyawa.
“Sudah sampai masanya untuk kita pertimbangkan supaya aspek latihan itu diteliti, sesuai dengan potensi ancaman semasa kerana ia berlaku di tempat awam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri, di Kompleks Seri Perkasa, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman.
Beliau mengulas mengenai kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 10.50 malam Sabtu lepas, yang menyebabkan seorang pekerja pembersihan cedera.
Pada masa sama, Saifuddin turut menegaskan bahawa sistem kawalan senjata api di Malaysia adalah ketat dan sebarang pemilikan senjata tanpa lesen merupakan kesalahan jenayah berat.
“Tiada rakyat Malaysia yang boleh memiliki senjata api melainkan dengan jalan pelesenan dan memiliki (senjata api) tanpa lesen adalah satu kesalahan jenayah yang sangat berat di sisi undang-undang.
“Proses untuk mendapatkan lesen itu sangat rumit sehingga saya menerima maklum balas kenapa lama sangat perlu menunggu iaitu, satu ke dua tahun, itu sendiri menjelaskan bagaimana tapisan yang sangat cermat dibuat oleh polis di Bukit Aman dan satu lagi di peringkat KDN,” ujarnya.
Selain proses mendapatkan lesen sangat ketat dan mengambil masa yang panjang, kata Saifuddin, hanya individu yang benar-benar layak sahaja seperti mereka yang bekerja dalam sektor berisiko tinggi akan diberikan lesen senjata api tersebut.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat terkini berkaitan kejadian tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam melalui media rasmi dan polis sahaja bagi mengelakkan orang ramai terjebak dengan maklumat palsu hingga berpotensi mencetuskan kegusaran awam. – TVS