KUCHING, 10 Feb: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) telah memperuntukkan geran berjumlah RM1.89 juta kepada 42 buah persatuan belia dan sukan di Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pemberian geran itu bukan sekadar bantuan kewangan dari Kerajaan Sarawak, tetapi satu bentuk pengiktirafan terhadap sumbangan dan usaha gigih persatuan dalam pembangunan belia dan sektor sukan di Sarawak.
“Daripada keseluruhan ini, sebanyak lima persatuan belia yang menerima geran keseluruhan yang berjumlah RM434,600 dan sebanyak 37 persatuan sukan yang menerima jumlah geran keseluruhan berjumlah RM1.46 juta ,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Geran Belia dan Sukan Negeri Sarawak 2025 bertempat di Bangunan Baitul Makmur II, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Jelas Karim, pemberian geran ini bertujuan agar persatuan-persatuan dapat bermesyuarat untuk berbincang mengenai perancangan sepanjang tahun 2025.
“Kerajaan Sarawak melalui MYSED begitu komited dalam mendukung usaha untuk melahirkan belia yang progresif, berdaya saing, serta sukan yang mampu memberikan impak positif kepada ekonomi dan sosial di Sarawak selaras dengan visi Kementerian iaitu ’Sustainable Youth, Inclusive Future’.
Katanya, kementerian juga akan terus memperkasakan infrastruktur sukan dan program pembangunan belia, termasuk menyediakan lebih banyak peluang latihan dan program berimpak tinggi selaras dengan aspirasi untuk mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Dalam konteks pembangunan belia dan sukan, kejayaan tidak hanya bergantung kepada usaha kerajaan semata-mata, akan tetapi kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO)
dan masyarakat amat penting dalam memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, persatuan berperanan sebagai pemangkin dalam mencukil bakat-bakat baharu, menyediakan platform untuk belia membina jati diri, kepimpinan dan kemahiran.
“Melalui penyerahan geran hari ini juga diharap agar persatuan-persatuan dapat meningkatkan mutu pelaksanaan program agar ia dapat melahirkan dan membentuk belia yang berkemahiran, kreatif dan mampu berinovasi。
“Saya yakin dengan sokongan semua pihak, Sarawak mampu menjadi wilayah yang unggul dalam pembangunan belia dan sukan, serta akan melahirkan lebih ramai pemimpin dan atlet berkaliber yang akan membawa nama Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Tambah Karim, sebagai usaha untuk memperkukuhkan kedudukan menjadi pusat sukan antarabangsa, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM280.7 juta menerusi Belanjawan Sarawak 2025 untuk pembangunan dan penambahbaikan kemudahan sukan di Sarawak.
Katanya, ia membuktikan komitmen Sarawak untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 yang akan datang sekali gus menyumbang dalam persediaan Sarawak untuk menjadi tuan rumah dalam acara sukan yang berprestij dan antarabangsa. -TVS