KUCHING, 10 Feb: Penerima bantuan bina rumah baharu di Kampung Pasir Pandak di sini menzahirkan rasa syukurnya atas bantuan menyiapkan rumah untuk keluarganya.
Asni Sabang berkata Program Sinar Lestari, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), membolehkan impian keluarganya memiliki rumah baharu menjadi realiti.
“Saya menetap di sini sudah lama. Oleh kerana struktur rumah ini sudah agak usang, kami terpaksa memohon melalui eKasih. Syukur alhamdulilah saya mendapat bantuan rumah ini.
“Saya sangat berterima kasih kepada YAPEIM dan Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Nancy Shukri kerana menyumbang untuk saya mendapat rumah ini,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis penyerahan rumah baharu itu yang disempurnakan Nancy, hari ini.
Menurut Asni, isteri kepada Alizan Abu Seman, YAPEIM turut memberi bantuan kewangan RM3,000 bagi membolehkannya menyediakan perkhidmatan menjahit pakaian.
“Saya memiliki kemahiran menjahit, sedikit sebanyak ia (bantuan YAPEIM) telah membantu saya menjana pendapatan,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata beliau atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Santubong turut menyalurkan dana RM40,000 bagi membina rumah berkenaan.
“Bantuan bukan dari kementerian tetapi saya sebagai wakil rakyat yang di sini, kita juga mendapat geran daripada kerajaan,” katanya.