KUCHING, 10 Feb: Persidangan Keusahawanan Wanita (WEC) 2025 yang akan diadakan pada 21 hingga 22 Februari 2025 merupakan platform untuk memperkasakan wanita Dayak dalam bidang keusahawanan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, persidangan ini membantu usahawan wanita Dayak dengan memberikan peluang yang lebih besar untuk memacu transformasi ekonomi yang semakin berkembang.
“Persidangan ini bukan sekadar satu acara biasa, tetapi merupakan platform strategik untuk membekalkan wanita dengan kemahiran, sumber dan jaringan yang diperlukan bagi berjaya dalam dunia perniagaan.
“Fokus utama adalah untuk usahawan wanita Dayak, bagi memastikan mereka mempunyai peluang yang sama untuk maju dalam ekonomi yang semakin kompetitif dan berkembang,” katanya pada sidang media Persidangan Keusahawanan Wanita 2025 di sini, hari ini.
Jelasnya, WEC 2025 turut menyediakan peluang rangkaian yang bernilai, membolehkan para peserta untuk berhubung, bertukar idea dan membina kerjasama strategik.
Menurutnya lagi, ia juga bagi memastikan wanita Dayak dapat berkembang dalam ekonomi global selain mengiktiraf sumbangan mereka.
“Perhimpunan ini menyediakan peluang rangkaian yang bernilai, membolehkan wanita Dayak berhubung, bertukar idea dan membina kerjasama strategik,” ujarnya.
Melalui sesi perkongsian ilmu, kisah kejayaan inspirasi dan perbincangan aktif, para peserta akan memperoleh alat dan motivasi untuk mencapai matlamat keusahawanan mereka, jelasnya.
Persidangan yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Rangkaian Pemberdayaan Wanita dan Kelestarian (WESNA) Kuching dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Belianmas bakal menyajikan pelbagai pengisian.
Salah satu sesi utama persidangan ini adalah sesi randau yang menampilkan usahawan Dayak yang berjaya dan melalui sesi yang informatif serta kisah kejayaan yang menginspirasi. – TVS