SINGAPURA, 10 Feb: Kaedah pembinaan kabel dasar laut bagi projek sambung tara (interconnection) elektrik berkapasiti 1,000 megawatt (MW) dari Sarawak ke Singapura dijangka diputuskan dalam masa terdekat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, meskipun persetujuan telah dicapai antara Malaysia dan Singapura, aspek teknikal mengenai pemasangan kabel dasar laut masih dalam perbincangan.
“Kami telah berbincang dalam mesyuarat bilateral yang dipimpin oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong. Sarawak telah bersetuju untuk membekalkan Singapura dengan 1 gigawatt kuasa melalui kabel dasar laut.
“Namun, perbincangan mengenai kaedah pembinaan kabel masih berjalan dan dijangka selesai dalam suku pertama tahun ini,” katanya ketika ditemui di Institut Yusof Ishak (ISEAS) di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, faktor utama yang perlu dipertimbangkan adalah tempahan dan pemasangan kabel, memandangkan hanya terdapat tiga kabel dasar laut seumpamanya di dunia.
“Jarak Sarawak ke Singapura sekitar 800 kilometer, jadi pemasangan kabel dasar laut memerlukan persetujuan bersama antara Singapura, Malaysia, dan Indonesia.
“Kami berharap isu ini dapat diselesaikan segera bagi memastikan projek ini berjalan mengikut perancangan,” tambahnya.
Projek ini dijangka menjadi langkah penting dalam kerjasama tenaga antara negara dan meningkatkan peranan Sarawak sebagai pembekal tenaga hijau di rantau ini.