PUTRAJAYA, 10 Feb: Canselor Universiti Malaya (UM) yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Penganugerahan itu adalah sebagai penghormatan tertinggi UM terhadap sumbangan beliau dalam bidang diplomasi global, perundingan antarabangsa serta hubungan geopolitik.
Penganugerahan yang diberikan pada Istiadat Konvokesyen Khas UM itu juga telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Erdogan dijadual menyampaikan syarahan umum selepas istiadat itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Presiden Turkiye itu kini sedang dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia yang bermula hari ini sehingga 11 Februari.
Istiadat sambutan rasmi sempena lawatannya ke Malaysia akan diadakan pada Selasa di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya disusuli pertemuan empat mata dengan Anwar serta mesyuarat dua hala antara Malaysia dan delegasi Turkiye. – TVS