KUCHING, 10 Feb: Dalam usaha berterusan meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan memperkasakan sosioekonomi golongan yang memerlukan, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dengan kerjasama rakan strategik Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) serta Pusat Khidmat P193 Santubong telah berjaya melaksanakan projek bina baharu rumah di bawah Program Sinar Lestari YAPEIM kepada Ketua Isi Rumah (KIR) eKasih.
Menurut kenyataan Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, objektif utama program ini adalah untuk membantu meringankan beban Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) eKasih terutama sekali dalam menikmati kediaman yang lebih selesa dan kondusif seterusnya memberi motivasi yang lebih baik dalam meneruskan kelangsungan hidup.
“Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup serta memberikan peluang kepada golongan yang memerlukan untuk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.
“Seramai dua keluarga eKasih telah terpilih untuk menerima sumbangan berbentuk sebuah rumah bina baharu setiap seorang,” kata kenyataan itu.
Setiap keluarga ini menerima rumah tiga bilik tidur, dua bilik air, satu ruang tamu dan satu ruang dapur yang berkeluasan 660 kaki persegi, lengkap dengan kemudahan elektrik dan air bernilai di antara RM110,000 hingga RM115,000 di atas tanah milik persendirian di Kampung Asajaya Laut dan Kampung Pasir Pandak.
Sesi penyerahan rumah di Kampung Pasir Pandak disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri.
Sejak tahun 2022, program ini telah memberi manfaat kepada empat keluarga eKasih di Sarawak yang melibatkan baik pulih dan bina baharu rumah dan manfaat seumpama ini bakal diteruskan dengan melibatkan empat lagi keluarga eKasih di sekitar Kuching.
Sebagai tanda penyempurnaan projek ini, satu sesi penyerahan diadakan di dua lokasi berbeza pada hari ini.
Sesi lain berlangsung di Kampung Asajaya Laut, Asajaya, melibatkan penerima Farhan Nur Aiman Abdullah.
Sesi ini dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Abdul Khudus Mohd Naaim, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM Ameer Ali Vali Mohamed, Pengarah Pembangunan Negeri Sarawak Jasni Jubli, Pengarah, Pengagihan Perbankan Runcit BIMB Zamree Mohamed dan Pengarah Wilayah, Malaysia Timur BIMB Kameri Edi.
“Semoga sumbangan bantuan ini dapat memberikan impak yang positif dan membantu menyediakan kediaman yang kondusif kepada keluarga eKasih.
“Program Sinar Lestari YAPEIM ini diharap dapat terus memberikan manfaat kepada lebih ramai penerima di seluruh negara, sekali gus memastikan kesejahteraan dan kelestarian kehidupan rakyat yang lebih baik,” kata kenyataan itu lagi.