KUCHING, 10 Feb: Dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir ditutup, menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang ditutup sebanyak 71 setakat pukul 12 tengah hari ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), PPS yang ditutup ialah Dewan Suarah Bintulu dan Dewan Penghulu Balang Sekuau, Selangau.
Bagaimanapun, sebanyak 12 PPS masih beroperasi bagi menempatkan 1,486 orang daripada 439 keluarga.
Sekretariat itu turut melaporkan bahawa seramai 603 mangsa daripada 211 keluarga di Bahagian Mukah masih berlindung di empat PPS.
Sementara itu, di Bahagian Bintulu, seramai 591 mangsa daripada 136 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS.
Di Bahagian Miri pula, seramai 289 mangsa daripada 91 keluarga masih berlindung di empat PPS.
Secara keseluruhan, jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan berbanding 1,534 orang daripada 460 keluarga yang masih berada di 14 PPS sehingga tengah malam Ahad.