MIRI, 10 Feb: Seramai 214,699 orang atau 24.22 peratus daripada jumlah keseluruhan penerima layak menerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) di zon utara yang merangkumi Bintulu, Miri, dan Limbang.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, berkata daripada jumlah ini, 118,347 penerima (55.12 peratus) telah mendaftar dengan SPay Global, manakala 96,352 penerima (44.88 peratus) belum berbuat demikian
“Yang belum mendaftar mungkin kebanyakan mereka berada di kawasan pedalaman. Bagaimanapun, usaha giat dijalankan untuk mencapai sekurang-kurangnya 85 hingga 90 peratus pendaftaran dalam tempoh terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Pendaftaran Sarawak ID dan Permohonan SKAS bersama Pusat Khidmat ADUN dan Parlimen di Pustaka Negeri Sarawak, Miri di sini, hari ini.
Seramai 886,288 penerima layak menerima SKAS di seluruh Sarawak.
Daripada jumlah ini, 410,529 merupakan isi rumah, 361,295 adalah individu bujang dan 114,464 terdiri daripada warga emas.
Sebastian berkata setakat ini 60.7 peratus atau 538,155 penerima telah mendaftar dan memohon SKAS melalui akaun SPAY Global.
Menurutnya, masih terdapat 348,133 penerima (39.3 peratus) layak yang belum mengemukakan permohonan mereka menerusi platform tersebut.