KUCHING, 9 Feb: Sarawak kini berada dalam era baharu pembinaan negara, dipacu oleh kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang membawa hala tuju berani dalam ekonomi hijau dan pembangunan mampan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, kepimpinan Abang Johari telah membawa perubahan besar kepada negeri ini, meskipun pada awalnya ramai yang meragui keupayaannya.
“Ketika beliau mengambil alih tampuk kepimpinan pada 2017, ramai yang memandang rendah keupayaannya. Tetapi hari ini, beliau telah membuktikan bahawa Sarawak mampu menjadi negeri paling maju di Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Angkatan Zaman Mansang (AZAM) di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Beliau menjelaskan bahawa Abang Johari bukan sekadar meneruskan dasar kepimpinan terdahulu, tetapi berjaya mengubah landskap ekonomi negeri dengan pendekatan yang lebih inovatif dan berorientasikan masa depan.
“Sarawak berada dalam era baharu pembinaan negara, bukan sekadar bergantung kepada hasil minyak dan gas, tetapi kita melangkah ke hadapan dengan inisiatif ekonomi hijau seperti hidrogen,” ujarnya.
Menurut Dr. Sim, strategi Premier dalam membangunkan teknologi hidrogen hijau telah meletakkan Sarawak di barisan hadapan dalam industri tenaga boleh diperbaharui.
“Kita tidak bercakap kosong. Sarawak telah berjaya menghasilkan hidrogen hijau dan telahpun mengeksportnya ke luar negara. Ini bukan mimpi tetapi realiti,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa perubahan ini tidak datang dengan mudah, tetapi hasil daripada keberanian Abang Johari dalam membawa pembaharuan.
“Ini adalah perancangan jangka panjang untuk memastikan Sarawak terus relevan dalam perubahan global. Apa yang kita lakukan hari ini adalah untuk generasi akan datang,” jelasnya.
Dr. Sim menambah bahawa pencapaian ini menunjukkan bahawa Sarawak bukan sahaja dipandang tinggi di peringkat nasional, tetapi juga sebagai negeri yang mempunyai visi dan hala tuju jelas dalam pembangunan negara.
“Sarawak bukan lagi hanya negeri pengeluar sumber mentah. Kita sedang membina masa depan dengan dasar ekonomi yang mampan, inilah legasi yang kita akan teruskan,” katanya lagi. – TVS