KUCHING, 9 Feb: Sarawak kini dilihat semakin maju dan berdaya saing, bukan hanya kerana kekayaan sumber alam, tetapi juga keupayaan cemerlang dalam urus tadbir negeri, dengan pengurusan kewangan yang semakin dihargai di peringkat nasional.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, dalam ucapannya menegaskan bahawa kejayaan kerajaan negeri dalam menguruskan hasil negeri membolehkan Sarawak menikmati peruntukan yang jauh lebih tinggi berbanding negeri lain.
“Bajet kita tahun ini berjumlah RM15.8 bilion. Apa maksud RM15.8 bilion? Ia bersamaan dengan 15 tahun bajet kerajaan negeri Pulau Pinang. Satu tahun bajet Selangor bersamaan dengan lima tahun bajet Pulau Pinang. Pernahkah orang sedar perkara ini?,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Angkatan Zaman Mansang (AZAM) di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Beliau menegaskan bahawa Sarawak masih memerlukan banyak sumber kewangan untuk terus membangun dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan.
“Empat tahun bajet Selangor bersamaan dengan 60 tahun bajet Pulau Pinang. Jangan kata kita tidak boleh mendapatkan peruntukan ini. Bukan sahaja kita boleh, malah kita akan mengatasi mereka,” katanya lagi.
Menurut Dr. Sim, keupayaan Sarawak dalam menguruskan hasil negeri adalah bukti bahawa negeri ini berada di landasan yang betul dalam pembangunan ekonomi dan infrastruktur.
“Kita bukan sahaja mampu mengurus kewangan negeri dengan baik, tetapi juga membangunkan projek-projek berskala besar seperti jalan raya, jambatan, dan sistem pengangkutan moden tanpa terlalu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.
“Lihat sahaja pembangunan Autonomous Rapid Transit (ART) di Kuching, ia adalah bukti bagaimana kita memanfaatkan hasil negeri untuk rakyat,” tambahnya.
Dr. Sim turut menegaskan bahawa Sarawak tidak boleh selamanya bergantung kepada Persekutuan.
“Kita tidak boleh selamanya bergantung kepada Kerajaan Persekutuan. Sebab itu kita memastikan ekonomi Sarawak berkembang, supaya kita boleh berdikari dan memberikan lebih banyak manfaat kepada rakyat,” katanya. – TVS