MIRI, 9 Feb: Mayat seorang lelaki yang tidak dikenali identitinya ditemui orang awam di dalam parit berhampiran Pasar Raya Emart Tudan di sini, petang Sabtu.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, PBT II Henry Jugah, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu kira-kira jam 5.32 petang memaklumkan mengenai penemuan tersebut.
“Susulan laporan itu, sepasukan anggota bomba segera dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, pasukan kami mendapati terdapat seorang mangsa di dalam parit. Selepas mendapat kebenaran pihak polis, operasi mengangkat mangsa ke tempat selamat segera dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, dengan bantuan pasukan bomba, mayat mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk pemeriksaan lanjut.
“Pada jam 6.30 petang, pihak KKM mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.
Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada mayat.-TVS