KUCHING, 9 Feb: Kerajaan komited membendung masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar bagi memastikan kesejahteraan mereka dapat dipelihara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Menurutnya, langkah proaktif telah dijalankan dengan memperkenalkan program sokongan psikososial yang lebih meluas, termasuk perkhidmatan kaunseling bergerak bagi mencapai lebih ramai golongan sasaran.
“Kami merasakan bahawa campur tangan perlu dilakukan. Oleh itu, apa sahaja yang mampu kami lakukan, kami akan usahakan. ‘Kamek nenga, kamek nulong’. Jadi kami akan berusaha membantu seramai mungkin.
“Inisiatif ini akan menjadi satu insiatif di bawah Yayasan Kebajikan Negea (YKN) di mana kami menganjurkannya secara bersama. Selain itu, kami juga melaksanakan Program Sokongan Sosial Setempat secara bergerak (PSSS), yang membolehkan kami menjangkau lebih ramai individu di pelbagai lokasi di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Jelajah Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) dan Sumbangan Back to School Sesi Persekolahan 2025 di Mydin Vista Tunku di sini, hari ini.
Tegas Nancy, masalah tekanan mental dalam kalangan pelajar semakin membimbangkan, terutamanya pelajar yang sedang meningkat dewasa.
Jelasnya, intervensi segera perlu dijalankan bagi memastikan masalah ini tidak menjadi kebiasaan dalam masyarakat.
“Kita dapat melihat kepelbagaian isu yang dihadapi oleh pelajar dan ini membuktikan bahawa perkhidmatan kaunseling seperti ini amat diperlukan. Tekanan mental boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak mengira wanita atau lelaki dan terutamanya pelajar yang sedang meningkat dewasa.
“Perkara yang paling membimbangkan adalah jika masalah ini menjurus kepada kejadian yang lebih serius, seperti bunuh diri. Jadi, kita tidak mahu perkara ini berlaku di Malaysia,” tambahnya.- TVS