PUCHONG, 9 Feb: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang menunggu laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu yang dibangkit oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).
Menterinya, Steven Sim berkata, KESUMA telah menutup isu berbangkit dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.
“PAC sudah keluarkan laporan. Kita tutup isu berbangkit dan yang penting kita serah kepada pihak berkuasa, kita tunggu laporan SPRM,” katanya.
Steven ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025, di Dewan Serbaguna Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sing Ming, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, PAC dilapor mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.
Pada Julai lalu, SPRM telah menjalankan siasatan terhadap HRD Corp susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 kerana ada keputusan diambil didakwa tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat. – TVS