KUCHING, 9 Feb: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak terus komited dalam memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan pembangunan negeri dapat dipacu secara holistik dan inklusif.
Pengerusi AZAM Sarawak, Datu William Patrick Nyigor berkata, organisasi itu akan terus berperanan sebagai platform bagi memperkasa masyarakat melalui perkongsian ilmu, pembangunan modal insan, serta mengukuhkan hubungan dengan rakan strategik dalam dan luar negara.
“AZAM bukan sekadar sebuah organisasi, tetapi ia adalah satu gerakan yang merangkumi pelbagai dimensi kemasyarakatan dan pembangunan. Ia bukan hanya mengenai kualiti, tetapi bagaimana kita menerima dan menghargai pelbagai aspek kemanusiaan yang menyatukan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran AZAM Sarawak 2025 di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan sesebuah negeri bergantung kepada jalinan kerjasama yang kukuh antara masyarakat dan pemegang taruh.
“Kerjasama yang erat dengan rakan kongsi dan pemegang taruh adalah pemacu kejayaan kita. Malam ini adalah bukti bagaimana usaha sama ini terus mendorong kita ke hadapan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kepentingan perpaduan dan kepelbagaian budaya sebagai asas keharmonian di Sarawak.
“Sarawak adalah negeri yang kaya dengan tradisi, bahasa, kepercayaan, serta kepelbagaian etnik. Kita harus terus merangkul perbezaan ini dan menjadikannya sebagai kekuatan dalam membina masa depan yang lebih baik
“Kerjasama ini telah membantu negeri dan rakyat kita berkembang. Kita memperkukuh misi kita sebagai sebuah negeri yang bersatu dan progresif,” katanya.
Menurutnya, AZAM akan terus menyediakan lebih banyak sumber dan platform bagi membolehkan masyarakat mendapatkan ilmu serta kemahiran yang relevan dalam dunia moden.
“Kita akan terus menerima perubahan dan bergerak seiring dengan peredaran zaman. AZAM akan memastikan setiap individu berpeluang mendapat manfaat daripada inisiatif yang dilaksanakan,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa AZAM akan terus berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan negeri melalui pendekatan yang inklusif dan berteraskan kepentingan rakyat.
“Kita mempunyai satu visi yang jelas, iaitu untuk melihat Sarawak berkembang maju dengan masyarakatnya yang berdaya saing dan bersatu-padu,” katanya. – TVS