SINGAPURA, 9 Feb: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, tiba di Singapura hari ini bagi mengadakan lawatan kerja rasmi selama dua hari.
Ketibaan beliau disambut oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, pada jam 4.56 petang.
Sepanjang lawatannya di Singapura, Abang Johari dijadual menghadiri beberapa acara penting, termasuk menyampaikan syarahan umum di Institut Yusuf Ishak (ISEAS) pada 10 Februari.
Beliau akan berkongsi mengenai ekonomi Sarawak serta wawasan berani dan inisiatif strategik untuk masa depan yang mampan dan rendah karbon.
Selain itu, beliau akan membincangkan pendekatan inovatif Sarawak dalam mengimbangi pertumbuhan ekonomi pesat dengan tanggungjawab alam sekitar, khususnya dalam bidang seperti pembangunan tenaga boleh diperbaharui, usaha penyahkarbonan, pengangkutan hijau, perancangan bandar dan pengurusan hutan.
Selain itu, beliau dijadual bertemu dengan Menteri Ehwal Luar Sungapura, Dr Vivian Balakrishnan, serta Menteri Tenaga Manusia Singapura merangkap Menteri Kedua bagi Perdagangan dan Industri Singapura, Tan See Leng.
Pada September 2024, See Leng berkata Singapura berminat untuk mengukuhkan kerjasama dengan Sarawak, terutama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui kerana lokasinya yang strategik dan sumber asli yang luas.
Malah, pihaknya juga berharap agar perdagangan dua hala dan ketersambungan pelancongan terus berkembang serta wujud kerjasama langsung dalam import tenaga boleh diperbaharui.