MIRI, 8 Feb: Inisiatif bantuan banjir yang diselaraskan TVS Prihatin bukan sekadar meringankan beban mangsa, tetapi juga menjadi titik permulaan bagi projek CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) pertama Kelab Sarawak Media Group (SMG) pada tahun 2025.
Pengerusi Kelab SMG, Sardon Zainal berkata projek ini digerakkan melalui Kelab Kakitangan SMG dengan kerjasama JKR Sarawak bagi membantu mereka yang terkesan akibat bencana, termasuk tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit serta banjir di beberapa kawasan sekitar.
“Hari ini, kami telah mengagihkan bantuan ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih aktif di Kampung Sukan, Miri. Semalam pula, kami telah menyampaikan bantuan di Stadium Muhibbah Bintulu.
“Bantuan yang diberikan merangkumi 38 kotak bekalan makanan, 100 bungkusan barangan keperluan asas, 12 kotak pakaian serta peralatan rumah seperti 38 biji baldi dan 75 batang penyapu.
“Usaha ini bukan sahaja bagi memastikan keperluan asas mangsa banjir dipenuhi, tetapi juga untuk membantu mereka dalam tempoh pemulihan selepas bencana,” tambahnya.
Bukan sekadar di Miri, pasukan TVS Prihatin akan meneruskan misi ke Bekenu dan Suai, di mana beberapa keluarga turut terjejas akibat banjir.
“Kami berharap bantuan ini dapat meringankan beban mangsa, walaupun jumlahnya tidak seberapa. Namun, ini adalah inisiatif pertama kami, dengan harapan lebih ramai pihak akan tampil menyokong dan menyumbang kepada kumpulan strategik yang terlibat dalam usaha ini pada masa akan datang,” ujarnya.
Turut hadir dalam penyerahan bantuan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Sukan adalah Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri, Raymond Chali, bersama Pengarah JKR Sarawak, Dr Cassidy Morris.
Keprihatinan pelbagai pihak dalam usaha ini menunjukkan kesepaduan masyarakat dalam membantu mereka yang memerlukan, sekali gus mengukuhkan semangat kebersamaan dalam menghadapi musibah.-TVS