Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom. Foto fail TVS

Parlimen Malaysia tekan kepentingan tadbir urus kolaboratif di Persidangan Serantau

ByDouglas Elliot

KUCHING, 8 Feb: Tadbir urus kolaboratif merupakan kaedah yang lebih berkesan untuk menghadapi cabaran serantau dan menangani keperluan masyarakat moden.

Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom menekankan kepentingan tindakan kolektif dalam menghadapi isu-isu mendesak seperti perubahan iklim, ketidakstabilan ekonomi, dan transformasi digital yang menjamin masa depan yang stabil dan makmur.

“Walaupun rantau ini mempunyai beberapa ekonomi yang berkembang pesat, kita juga perlu menangani jurang ketidaksamaan, kemerosotan alam sekitar dan perubahan iklim.

“Tadbir urus kolaboratif bukan lagi satu pilihan – ia adalah satu keperluan,” katanya dalam ucapan pembukaannya Persidangan Serantau Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) Asia dan Asia Tenggara yang pertama di Pakistan, baru-baru ini.

Ujarnya, negara-negara serantau seperti Pakistan, Maldives, dan Malaysia terdedah kepada ancaman kejadian cuaca ekstrem, kenaikan paras laut dan gangguan ekonomi akibat perubahan iklim.

“Rantau Asia Tenggara dianggap sebagai salah satu kawasan paling terdedah kepada perubahan iklim di peringkat global.

“Selain itu, rantau-rantau ini juga berhadapan cabaran serupa, seperti pergantungan tinggi kepada sektor pertanian, jurang infrastruktur serta peningkatan ketidaksamaan.

“Justeru, cabaran ini memerlukan pendekatan kolaboratif yang lebih menyeluruh,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini yang menekankan kepada pertumbuhan bersama dan pengukuhan kerjasama serantau.

“Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berikrar untuk memberi keutamaan kepada pertumbuhan inklusif, perdagangan, dan usaha keamanan di seluruh ASEAN.

“Malaysia juga memastikan bahawa kerjasama serantau kekal sebagai asas utama dalam mengatasi cabaran dan memacu pembangunan mampan di seluruh rantau ini,” katanya lagi.

Persidangan yang berlangsung dari 6 hingga 10 Februari itu juga akan membincangkan mengenai komitmen negara-negara ahli dalam mengukuhkan hubungan diplomatik dan mempromosikan kestabilan serantau melalui tadbir urus kolaboratif. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan