KUCHING, 8 Feb: Pasukan Kuching City FC terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Perak FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Negeri, malam tadi.
Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, berkata pasukannya kini perlu segera mengalihkan fokus dan bekerja lebih keras untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super, terutama menjelang pertemuan menentang Penang FC pada 16 Februari nanti.
“Setiap perlawanan, sasaran utama kami adalah untuk meraih tiga mata penuh. Namun, kami juga perlu bersikap realistik kerana beraksi di tempat lawan bukanlah tugas yang mudah. Satu mata tetap hasil yang baik, manakala tiga mata adalah bonus buat kami,” kata Aidil pada sidang media selepas tamat perlawanan saingan Liga Super, pada Jumaat.
Beliau turut menegaskan bahawa perlawanan menentang Penang FC bakal menjadi satu cabaran besar, namun Kuching City mempunyai rekod baik di sana.
“Kami pernah menewaskan mereka dua kali di sana sebelum ini. Ini adalah pertemuan ketiga di Stadium Bandaraya, dan saya berharap para pemain lebih yakin serta mempunyai keinginan yang lebih tinggi untuk memenangi perlawanan ini,” tambahnya.
Dalam perlawanan menentang Perak FC, pasukan pelawat tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Firdaus Saiyadi berjaya meledak gol seawal minit ke-14, memberikan kelebihan buat skuad bimbingan Yusri Che Lah.
Bersambung babak kedua, Kuching City FC terus meningkatkan asakan dan hampir mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-54, namun tandukan Yuki Tanigawa sekadar menggegarkan tiang gol.
Usaha keras pasukan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-71 apabila Muhammad Ramadhan Saifullah Usman menanduk masuk bola, menewaskan penjaga gol Perak, Haziq Nadzli. -TVS