MUKAH, 7 Feb: Usaha pasukan penyelamat dan pihak berkaitan yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di sini amat dihargai, kata Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib.
Menurutnya mereka yang terlibat termasuk pihak sukarelawan dilihat komited dalam memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk yang terjejas sentiasa dalam keadaan baik.
“Saya menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus membantu mangsa banjir, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Terdahulu, Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia itu turun padang bagi meninjau situasi banjir terkini yang melanda beberapa kawasan di Mukah.
Dalam lawatan tersebut, Hanifah turut menyampaikan bantuan kepada penduduk yang masih terputus hubungan dengan bandar, termasuk jaket keselamatan serta bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan harian.
“Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Hanifah dalam pada itu berharap mangsa banjir tabah menghadapi ujian bencana kali ini sambil memuji semangat kebersamaan dalam komuniti dalam menghadapi cabaran mendatang.
Lawatan Hanifah semalam turut diiringi oleh wakil beberapa jabatan, agensi, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pejabat Residen Bahagian Mukah, Pejabat Daerah Mukah, Polis Diraja Malaysia Daerah Mukah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Mukah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mukah, Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Mukah, serta beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).