KUCHING, 7 Feb: Cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mewujudkan garis panduan terhadap umat Islam berkunjung ke rumah ibadat bukan Islam dan pembabitan dalam perayaan, tidak sepatutnya dipraktikkan di Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata wilayah ini mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama yang hidup harmoni dengan kepercayaan masing-masing.
“Di Sarawak, kita tidak ada masalah. Kita tidak mempunyai isu dalam memeriahkan perayaan rakan-rakan berlainan agama.
“Saya gembira mendengar bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengenepikan garis panduan ini kerana saya secara peribadi merasakan ia tidak perlu. Biarkan perkara ini berjalan seperti biasa kerana kita memang tidak mempunyai masalah,” katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai perkara tersebut ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Program Borneo Cross Border Cycling Tour 2025 di sini, malam ini.
Abdul Karim turut menegaskan bahawa niat seseorang adalah faktor utama dalam menghadiri sesuatu majlis keagamaan dan tidak perlu ada garis panduan khas yang seolah-olah menggambarkan umat Islam di Malaysia tidak tahu menilai sendiri perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan.
Terdahulu, Anwar berkata Jemaah Menteri telah memutuskan tiada keperluan untuk mewujudkan garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain.
Beliau berkata perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi dan akan dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Perdana Menteri menjelaskan Malaysia sebagai sebuah negara yang agama rasminya Islam, kepentingan kaum dan agama lain di negara ini juga harus dijaga bagi memelihara keamanan. – TVS