Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah berkata Sarawak mengambil langkah holistik dengan menggabungkan usaha pencegahan, pengurangan permintaan dan bekalan, serta rawatan dan pemulihan dalam menangani isu penyalahgunaan dadah. Foto Izzah Kamilah (TVS)

Sarawak perkasa OSCA fokus pemulihan penagih dadah

ByIzzah Kamilah Yunus

KUCHING, 7 Feb: Sarawak terus memperkukuhkan pendekatan berasaskan kesihatan dalam menangani isu penyalahgunaan dadah dengan menekankan konsep rawatan dan pemulihan berbanding kriminalisasi, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak itu berkata, pendekatan ini sejajar dengan dasar baharu, iaitu dekriminalisasi penggunaan dadah bagi individu yang tampil secara sukarela ke One Stop Centre for Addiction (OSCA) untuk mendapatkan rawatan.

“Kami sangat bersetuju dengan dasar dan penekanan yang terkandung dalam program polisi berkaitan dadah ini, seterusnya kita perlu melihat isu penggunaan dadah ini dari pelbagai perspektif, khususnya dari perspektif kesihatan.

“Penggunaan dadah ini sebenarnya memberi kesan yang merosakkan, terutama dari segi kesihatan mental yang memberi impak negatif terhadap kesejahteraan mental individu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Program Dasar Dadah Malaysia diketuai pengarahnya, Palani Narayan di sini, hari ini.

Fatimah menegaskan bahawa pemulihan harus dilihat dalam konteks tersebut, di samping mempertimbangkan strategi yang digunakan untuk menangani masalah ini.

Menurutnya, Sarawak telah mengambil langkah holistik dengan menggabungkan usaha pencegahan, pengurangan permintaan dan bekalan, serta rawatan dan pemulihan.

Dato Sri Fatimah Abdullah dan Palani Narayan semasa kunjungan hormat. Foto Izzah Kamilah (TVS)

“Oleh sebab itu, dalam jawatankuasa kita, kami juga telah memasukkan peranan pihak Jabatan Kesihatan dengan 25 OSCA yang telah ditubuhkan.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi peruntukan untuk membolehkan kita mewujudkan lebih banyak OSCA,” katanya lagi.

Katanya, dengan peruntukan tambahan yang diberikan kerajaan, Sarawak bercadang memperluaskan lagi program OSCA bagi memastikan lebih ramai individu mendapat akses kepada rawatan yang sewajarnya.

Tambahnya, langkah ini selari dengan hala tuju Way Forward 2025, yang menekankan pemulihan menyeluruh dalam komuniti dan pengiktirafan terhadap usaha sukarelawan serta organisasi yang membantu bekas penagih menjalani kehidupan yang lebih baik. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan